Sunday, February 21, 2010

Renungan Bersama

KELEBIHAN FAHAM AGAMA ALLAH (TAFAQQUH FID DIN)

Dari Abi Musa, dari Rasulullah SAW, sabdanya:

"Perumpamaan hidayah dan ilmu yang aku bawa daripada Allah adalah bagaikan hujan yang lebat menimpa bumi; maka ada bahagiannya yang subur dan mudah menyerap air, lalu tumbuhlah pokok dan rumput yang banyak, dan ada pula bahagiannya yang keras hanya menakung air tetapi tidak menyerap, lalu manusia dapat mengambil manfaat daripadanya seperti minum, menyirami dan pengairi tanaman, dan ada pula bahagian yang lain iaitu bahagian tanah yang sama sekali tidak menerima air dan tidak pula tumbuh tanaman (diatasnya).

Yang demikian itu adalah perumpamaan (untuk) orang yang memahami agama Allah (tafaqquh fid din), dia dapat mengambil manfaat daripada apa yang diberikan oleh Allah kepadaku, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya (kepada orang lain); dan perumpamaan (untuk) orang yang tidak mengangkat kepala dengan itu; dan (perumpamaan untuk orang) yang tidak menerima hidayah yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepadaku".

(Hadis Sahih, Muttafaq 'Alaihi)

sabda Nabi SAW.:

Ertinya. Barangsiapa yang Allah inginkan agar ia menjadi orang yang baik, maka Allah akan tafaqquhkan dia dalam (urusan) agama.

(Hadis Sahih, Muttafaq 'Alaihi)

Mari kita renung sejenak tentang Saidina Umar Ibnu Al Khattab RA. Beliau adalah orang yang paling disegani dan paling digeruni semasa jahiliyahnya. Demikian juga setelah beliau memeluk Islam, beliau tetap disegani dan ditakuti hatta oleh syaitan.

Apakah rahsianya Saidina Umar Ibnu Al Khattab RA boleh mencapai tahap tersebut?

Jawapannya tidak lain ialah kerana beliau benar-benar tafaqquh fiddin.

Sungguh banyak I’tibar (pengajaran) yang dapat kita ambil daripada kisah beliau.
Di antaranya, kisah tentang beliau berkata dengan Hajar Al Aswad, kisah beliau tidak memotong tangan pencuri kerana terlalu fakir, kisah beliau memotong kedua-dua tangan pencuri kerana telah berdusta atas nama Allah, kisah beliau merubah destinasi setelah mendapat berita wabak taun di negeri yang akan dituju, kisah tentang beliau hijrah dan lain-lain. Beliau dikenal sebagai khalifah yang paling adil.

Mukmin yang tafaqquh fiddin memang lebih ditakuti oleh syaitan dibandingkan dengan orang yang banyak beribadah tetapi jahil tentang selok belok agama.

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW.:


Ertinya: Seorang Faqih (orang yang tafaqquh fiddin) adalah lebih digeruni oleh syaitan daripada seribu orang 'Abid (orang yang banyak beribadat).

(H. Tarmidzi, Ibnu Majaah dan Al Baihaqy)

Omar Ibnu Al Khattab RA berkata:

Ertinya: Kematian seribu orang yang banyak beribadah malam dan berpuasa siang harinya adalah lebih ringan daripada kematian seorang yang berakal lagi memahami tentang hukum Allah, halalnya dan haramnya.


Daripada Saidina Ali Bin Abi Talib RA, bahawa Nabi saw bersabda:

Mahukan, kamu aku khabarkan tentang orang yang paling faqih. Jawab para sahabat: baiklah. Sabda Nabi: Iaitu :
1) orang yang tidak suka membuat manusia putus asa akan rahmat Allah, dan
2) dia tidak menenteramkan manusia daripada pembalasan Allah, dan
3) dia tidak benci kepada Al Quran.

Ketahuilah olehmu :
Tidak ada kebaikan pada ibadah tanpa tafaqquh, dan
tidak ada (kebaikan) pada ilmu tanpa kefahaman, dan
tidak ada (kebaikan) pada bacaan Al Quran tanpa tadabbur (penghayatan).

(Dari Saidina Ali).

No comments:

Post a Comment