Monday, June 29, 2009

Bersamamu...Nisa' Lumut

Salam ukhuwah, salam mahabbah untuk semua...

Kasih sayang merupakan perasaan fitrah yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada makhluk ciptaan-Nya. Bukan sahaja manusia yang memiliki sifat ini, namun binatang juga berkasih sayang sesama mereka. Kita dituntut oleh Islam untuk berkasih sayang sesama manusia dan juga sesama makhluk Allah yang lain, hatta binatang, tumbuh-tumbuhan, alam sekitar dan lain-lain ciptaan-Nya.

Justeru, dengan sifat itulah Nisa' Lumut mengorak langkah untuk berbakti kepada golongan yang memerlukan bantuan. Bukan sahaja bantuan kewangan, malah menunjukkan keprihatinan golongan muda dan belia kepada warga tua yang perlukan kasih sayang daripada anak-anak muda.

Sepertimana yang telah dirancang, program gotong-royong Nisa' Lumut telah mencapai objektifnya apabila berjaya bersama-sama wakil DMPKL dan beberapa tenaga daripada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pasir Panjang ke sebuah rumah seorang warga emas wanita di Kampung Baru, Ayer Tawar pada 27 Jun 2009 jam 2.30 petang yang lalu.

Tuan rumah yang kami panggil 'opah' tinggal seorang diri di rumahnya dengan keadaan fizikal yang kurang upaya. Opah dikategorikan cacat kerana anggota tangan dan kaki beliau di sebelah kanan sudah tidak bolah berfungsi lagi. Ketibaan kami disambut dengan gembira oleh opah kerana setiap yang hadir, opah akan cium kami. Kelihatannya seperti merindui ciuman kasih seorang ibu kepada anaknya. Kami mendapat tahu bahawa opah mempunyai seorang anak perempuan yang telah berhijrah ke tempat lain kerana mengikut suami.

Program gotong-royong bermula dengan sebahagian daripada kami membersihkan ruang dapur, bilik air, ruang tidur opah, ruang tamu dan persekitaran di luar rumah opah. Berkat kerjasama ahli Nisa' Lumut, DMPKL dan Pusat Khidmat DUN Pasir Panjang, kami berjaya membersihkan rumah opah dengan jayanya. Gembira rasa di hati melihat rumah opah sudah kemas dan bersih daripada habuk dan kotoran yang telah lama tidak dibersihkan.

Selesai sahaja mengemas dan membersihkan badan opah serta menukarkannya dengan baju baru, kami bersama-sama menjamu selera di luar rumah opah. Seperti berkelah rasanya kerana rumah opah tidak jauh dari laut. Hasil perkongsian rezeki ahli-ahli Nisa' Lumut dan DMPKL yang dibawa dari rumah masing-masing, makanan dikongsi bersama-sama dengan opah. Seronok opah agaknya petang ni kerana ramai anak-anak yang bersama-sama dengannya.

Nisa' Lumut mengharapkan agar usaha yang sedikit ini diberkati oleh Allah s.w.t dan diterima sebagai amalan kebajikan buat kami. Kami mengingatkan opah agar tetap melaksanakan amalan solat walaupun kita berada di dalam kesusahan. Semoga opah dikurniakan kesihatan yang baik dan dilindungi oleh Allah s.w.t. Amin.

InsyaAllah kami akan mengunjungi opah lagi kerana masih ada yang sayang.....

Gambar akan menyusul kemudian, InsyaAllah.

Jumpa lagi.

No comments:

Post a Comment